Blog

Uncategorized

Rina Rahman bahagia dalami ilmu Al-Quran

Salam Ziarah 2018,

Artikel BH Singapura tarikh – 4 Januari 2017

Ucapan selamat menyambut tahun baharu masihi 2018 untuk semua para pembaca setia Blog Wadahseniku. Semoga tahun baharu ini memberi sejuta kemanisan dan keceriaan sepanjang umur hidup kita. Aameen inShaaAllah.

Saya mulakan tahun baharu 2018 dengan artikel terbaru Berita Harian Singapura dari saya untuk anda semua.

Tentu ramai yang masih merindui Karen Carpenter Singapura bukan? 

Saya bersama Puan Sri Hajah Rina Rahman
Ia, tak lain tak bukan seorang biduanita yang cukup terkenal pada suatu ketika dahulu iaitu Puan Sri Datin Seri Hajah Norhayati Abdul Rahman atau lebih tepat dengan nama pentasnya Rina Rahman.
Seorang biduanita yang boleh dianggap legenda seni suara kelahiran Singapura ini walaupun tidak begitu aktif namun beliau masih lagi mempunyai ramai peminat yang masih merinduinya.

Terima kasih kak Haryani Ismail dan Sub Editor Gah! – Nurul Ain yang memberi saya peluang menulis artikel mengenai mereka yang sudah tidak aktif lagi dalam bidang seni tapi tidak ketinggalan untuk berkongsi perkembangan mereka kepada peminat yang masih merindui.

*Terima kasih Ummi dan ini adalah hadiah saya untuk ummi diatas kebaikan, nasihat dan kata-kata semangat untuk dikongsi bersama yang lain.
Ampun maaf jika terdapat beberapa tulisan yang kurang tepat dan kemas dari pihak saya dan BH sendiri.

Silakan baca artikel sepenuhnya di bawah ini. 

LAGU malar segar Ku Ingin Bahagia oleh penyanyi Rina Rahman, yang terkenal dengan julukan Karen Carpenter Singapura, pasti terpahat dalam fikiran ramai yang membesar sekitar 1970- hingga 1980-an.

Julukan itu diberi kerana suaranya dikatakan mirip penyanyi kumpulan adik-beradik The Carpenters, yang mempopularkan lagu Top Of The World.

Ramai yang mungkin tertanya-tanya ke mana perginya beliau yang nama sebenarnya ialah Datin Seri Hajah Norhayati Abdul Rahman, 62 tahun.

Ketika ditemui di Konsert Dimensi Legenda RTM di Kuala Lumpur bulan lalu, beliau berkata dirinya tidak lagi menerima undangan menyanyi, bahkan sudah lama meninggalkan dunia seni.

TAK LUPA ASAL USUL –



“Saya masih ingat lagi pengalaman membuat persembahan di beberapa negara di luar Singapura. Menghasilkan album sendiri antara kenangan yang tidak saya lupakan.

“Di sebalik kesibukan merantau melihat dunia luar, saya bersyukur asal usul saya tidak dilupakan. Saya berusaha berpijak di bumi nyata tanpa melupakan identiti saya sebagai anak Melayu,” katanya.

Sungguhpun sudah ‘bersara’, sesekali apabila diajak menonton acara seni, beliau tidak pernah menolak, bahkan sering berusaha memenuhi undangan sebagai tanda sokongan terhadap karyawan seni. Itulah juga caranya melepaskan rindu terhadap teman seperjuangan.


Semasa menerima Sijil Pengajian Al-Quran dan Tajwid
MEMPERTINGKATKN ILMU AGAMA

Pada usia emasnya kini, ibu empat anak antara usia 24 tahun dengan 36 tahun itu banyak menghabiskan masa mengurus rumah tangga dan mempertingkat diri dalam pengetahuan agama.

Tahun lalu, Rina baru sahaja meraih sijil pengajian Al-Quran dan tajwid selepas melalui pengajian empat tahun di Pertubuhan Kebajikan Baitul Hassan, Kuala Lumpur.

“Dah berumur ‘ni, barulah Umi nak ‘graduate’. Apa pun, usia bukan penghalang bagi kita perbaiki diri dan belajar mempertingkat ilmu pengetahuan agama supaya kita lebih dekat dengan Allah,” ujarnya, yang selesa membahasakan dirinya Umi.

Keanggunan diri dan wajahnya tetap sama. Senyum manis dan budi bicaranya amat mempesona. Beliau kaya nasihat dan pedoman hidup yang ingin dikongsi.

Nenek empat cucu itu dikenali dengan lagu seperti Hidup dan Kesedaran dan Joget Sayang Disayang.

bersama Biduanita Kamaliah Latiff

TIADA RAHSIA NAMA SEBENAR
Dilamar komposer terkenal S. Atan menjadi artis rakaman di bawah label rakaman EMI Singapore, Rina asalnya bergiat di kelab malam dan terkenal di serata Kuala Lumpur dan Singapura.

Ditanya bagaimana timbulnya nama Rina sedangkan nama sebenarnya ialah Norhayati, beliau berkata seraya ketawa:

“Entahlah, Abang Atan (S. Atan) yang beri nama ‘tu. Agaknya, nama Norhayati panjang sangat tak?”

Jodohnya dengan EMI tidak panjang kerana beliau kemudian mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin pada 1980 lalu berhijrah ke Kuala Lumpur.

Dua piring hitam LP sahaja sempat dirakamnya iaitu Ku Ingin Bahagia dan Ada Kesedihan Di Wajahmu.

PANDANGAN BELIAU LAGU -LAGU TERKINI


Mengulas pula tentang lagu masa kini, beliau jujur berkata zaman sudah berubah tetapi lagu hari ini agak ringan hingga mudah dilupakan.

“Sungguhpun begitu, saya kira industri muzik hari ini perlukan kesegaran. Dulu lain, sekarang lain,” katanya.

Ku Ingin Bahagia -Lagu yang mempopularkan namanya
NASIHAT – NIAT PENENTU JAYA

Dalam pada itu, anak seni ini sentiasa berusaha memperbaiki diri ke arah kebaikan. Beliau tidak lokek dengan nasihat yang bersandarkan niat penentu jaya.

“Nawaitu. Niat kita ‘tu penting. Jagalah nawaitu dalam apa jua yang kita lakukan,” katanya.

Advertisements
Uncategorized

SUMBANGSIH – Karya peninggalan Zainal S. Abbas

Artikel keratan Akhbar Berita Harian

Zainal S. abbas bersama Biduanita Rahimah Simen  dan pelakon pentas drama RTS.
(Gambar sumbangan Puan Rahimah Simen) 

Artikel drama Sumbangsih dipentaskan buat pertama kali

Oh sumbangsih jiwa kecewa
Nada kasih lagu bahgia
Nan kurindu masa ke masa
Tapi kecewa dilanda derita

Oh rembulan tempat mengadu
Kami insan dahaga rindu
Ingin bersatu hidup bersama
Mengenang cinta murni mulia

Kini semua hancur dan musnah
Niat bercantum badan berpisah
Kembang mawar beri pada mu
Lambang kita pasti bersatu

Oh sumbangsih hati ke hati
Nada rindu rukun sejati
Kami insan rindu percantuman
Kami rindu kan keadilan

Lagu Sumbangsih adalah ciptaan pemuzik dan komposer lagu tersohor iaitu Allahyarham Zainal S. Abbas.

Zainal S. Abbas atau nama sebenarnya Zainal Soib bin Abbas dilahirkan di Tanjung Balai, Asahan, Medan – Indonesia.

Dilahirkan pada 15Februari 1924 dan beliau meminati muzik sedari kecil lagi.

Mula merantau dengan mengikuti kumpulan muzik dan kemudian berhijrah ke Pulau Pinang.

Pada 1953, beliau berhijrah pula ke Singapura dan belajar muzik dengan tokoh muzik melayu kebanggaan “Majulah Singapura” iaitu Allahyarham Pak Zubir Said.

Beliau telah menulis dan mencipta sebanyak 200 buah lagu dan antara lagu popular beliau ialah Sumbangsih, Jinak Merpati (Rafeah Buang), Kembali Ke Pangkal Jalan (Kartina Dahari),Lahirmu Berbau Kasturi, Sireh Pinang (Ismail Haron) dan Pergi Tanpa Kata (Ahmad Jais).

Lagu Sumbangsih dicipta sempena sebuah pementasan drama yang diarahkan oleh Sutradara Allahyarham Bani Buang dan nama lagu berjudul Sumbangsih dicipta oleh Zainal S.  abbas sempena drama tersebut.

Ia dipentaskan pada tahun 1961 di panggong Victoria untuk mencari dana “Gedung Seni” untuk pertubuhan Perkumpulan Seni dan penyanyi asal lagu ini ialah Biduan R. Ismail.

Setelah perpisahan antara Singapura dan Malaysia, lagu ini diperdengarkan sekali lagi pada tahun 1965 untuk pementasan drama Sumbangsih buat kali kedua. Ramai penonton yang hadir menangis menitis airmata hiba kerana lirik lagu ini seakan kena dengan perpisahan yang berlaku antara Singapura dan Malaysia.

Untuk pementasan kedua ini,Tiket-tiket pementasan habis dijual dan dipentaskan selama tiga hari berturut-turut oleh persatuan Perkumpulan Seni yang diasaskan oleh Zainal S. Abbas sendiri.

Setelah kejayaan drama ini,lagu ini dirakamkan ke piring hitam oleh Biduan M. Bakri.

Pada bulan March 1987, Drama Sumbangsih dipentaskan buat kali ketiga sempena mengenang komposer lagu ini dan ia adalah yang terakhir dipentaskan di khalayak ramai.

Zainal S. Abbas telah berpulang pada 3 Februari 1986 akibat serangan jantung dan rebah di kolong blok nya semasa dalam perjalanan ke majlis Marhaban.

Semoga segala baktinya terus diingati dan moga Allah Subhanallahu Taala mencucuri rahmat ke atas rohnya. Aameen.

Salam seni,
Ukhti Aminah
Singapura

SUMBER : Arkib Berita Harian Singapura

Uncategorized

Hidupku Seniku-Kisah perjalanan dunia seni Rahimah Rahim

Anugerah Perdana Emas 2017
Biduanita Rahimah Rahim, 

Nama besar dalam industri seni serantau yang cukup dikenali sejak 1960an lagi.Seorang legenda seni yang ceria dan luas pengalamannya dalam bidang seni sejak empat dekad yang lalu.

Bapanya Rahim Hamid,yang juga dikenali sebagai Nat king Cole of Singapore merupakan seorang penyanyi hebat,penolong pengarah dan penyunting filem yang sangat berkebolehan.Ibunya pula Seniwati Mariam Baharom,Primadona Filem melayu klasik yang sangat dikenali sejak tahun 1950an.

Lakonannya di dalam filem Korban Kaseh-1961
Bakatnya dicungkil sewaktu beliau berusia enam tahun dan Filem Korban Kaseh merupakan jejak permulaannya sebagai anak seni. Bermula karier seninya sebagai pelakon cilik di dalam filem Korban Kaseh itulah bersama adiknya Rahman Rahim dan kemudian bakatnya digarap untuk filem klasik yang lain seperti Masuk angin keluar asap dan Kaseh Ibu. 

Ketika bermulanya peralihan ke dunia penyiaran Televisyen,Rahimah Rahim antara pelakon dan penyanyi cilik yang mula-mula mewarnai dunia Tv setempat.Drama Sitkom Pak Awang Temberang,juga melonjakkan popularitinya di persada seni tanahair.

Ketika usianya meningkat remaja, Bapanya sering membawa beliau menyanyi di Kelab Malam terkemuka di serata Singapura.Bakat nyanyiannya mula digilap dengan tunjuk ajar dari ayah dan juga pakciknya iaitu Seniman Dato Ahmad Daud. 

Pada tahun 1972,beliau mula merakamkan suara dengan syarikat Panda Records dan melancarkan album bertajuk Mana Ibu Nya,Setelah merakamkan beberapa album bersama Panda Records,Beliau berpindah ke syarikat rakaman Senada Records dan popular dengan lagu seperti Posnita dan Bintang Sukanku.

Sewaktu remaja
Pada awal tahun 1980an,Karier nyanyiannya tidak terhenti disitu lalu beliau terus merakamkan album dibawah label syarikat Josal Music Records dengan taruhan lagu Gadis dan Bunga yang menjadi siulan anak remaja hingga kini.Bahkan beliau juga pernah merakamkan album dibawah label syarikat EMI,NSR dan terakhir Life Records pada tahun 2003.

Terkini Pada bulan March 2017 yang lalu,Tuah menyebelahinya apabila Rahimah Rahim dan juga Anita Sarawak diikhtiraf sumbangannya oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan nama-nama mereka disenaraikan dalam Dewan Wanita Masyhur Singapura (SWHF).Seminggu kemudian, beliau diangkat menjadi penerima Anugerah Emas Sepanjang Hayat Pesta Perdana ke 14 oleh Mediacorp Suria.

Popularitinya bukan sahaja dikenali dikalangan masyarakat melayu malahan beliau turut diminati oleh pelbagai bangsa lain seperti Cina dan India dan beliau juga sering dilihat di kaca tv Mediacorp Channel 5 dan Channel 8. 

Selamat berhari raya,Gadis dan bunga,Posnita,Bebas dan banyak lagi lagu yang mempopularkan namanya hingga ke hari ini dan setelah hampir 40tahun bergelar anak seni,kini beliau tampil segar dengan mengadakan konsert solo beliau “Hidupku, Seniku-MyLife My Art” di Dewan Konsert Esplanade,Singapura pada 11 November ini. 


Tiket-tiket berharga $30,$48 dan $68 boleh didapatkan melalui kaunter Sistic di serata Singapura. 

Antara artis yang turut sama memeriahkan acara ini ialah Fauziah Dato Ahmad Daud, Rozie Rahim,Rahman Rahim,Mahani Mohd dan diiringi oleh para pemuzik handalan dibawah pengarah muzik,Maestro Indra Shahril. 

Acara ini dibawakan oleh Singapore Street Festival Limited dan turut disokong oleh Perkamus. 

Semoga Konsert Solonya yang bakal berlangsung nanti diadakan dengan jayanya sebagai hadiah untuk para peminatnya.
Salam Seni,
Ukhti Aminah
Singapura
*Catatan info dari Berita Harian Singapura & NLB Resources 
  Gambar : Biduanita Rahimah Rahim

Uncategorized

3 Studio Perfileman Melayu klasik di Singapura

Studio Cathay Keris 

Studio Malay Film Productions Kini 2017 

Studio Malay Film Productions 1961

Senarai nama pemilik Nusantara Film Productions

Hsu Chiao Meng atau M. Wijaya

Alamat Nusantara Film Company, 219J De Souza Ave

Senarai Filem keluaran Nusantara Film Company yang kebanyakannya sudah pupus

Salam Seni,

Studio Perfileman Melayu Klasik di Singapura yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan masyarakat melayu kerana disini merupakan Pusat hiburan utama umpama Hollywood.

Studio Malay Film Productions (MFP) 

Studio Malay Film Productions (MFP) atau lebih dikenali sebagai studio Jalan Ampas ini merupakan studio yang banyak melahirkan pelakon dan pengarah filem yang sangat hebat seperti Seniman Tan Sri P.Ramlee,Aziz Sattar,S. Shamsudin,Sarimah dan lain lagi hinggakan filem-filem lakonan dan arahan mereka masih lagi ditonton hingga kini.Ia mula beroperasi dari sebuah studio yang kecil pada tahun 1924 dengan menayangkan filem-filem Bisu keluaran syarikat mereka dan mempunyai panggung wayang sendiri yang diberi nama The Empire yang kemudiannya diambil alih oleh tentera jepun semasa perang dunia kedua dan panggung wayang The Empire dijadikan agenda menayangkan filem-filem keluaran Jepun sahaja.Selepas peperangan Jepun tamat,Shaw Brothers membaik pulih studio jalan ampas yang kita lihat sekarang dan mereka menjadi pengeluar filem terbesar di rantau ini dan juga mempunyai syarikat filem di Hongkong,China. Filem terakhir keluaran MFP ialah Raja Bersiong yang diilhamkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dan diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong.

Penubuhan dan penutupan :
1924 – 1937 -Beroperasi sebagai pengeluar filem bisu dan mempunyai sebuah panggung wayang The Empire.
1937 – 1941– Sempat menerbitkan 5 buah filem melayu bertajuk Mutiara,bermadu,Tiga Kekaseh,Ibu Tiri dan Toping Saitan disiapkan pada tahun1941 dan saya difahamkan Biduanita Momo Latiff merupakan Heroin filem ini disamping heronya Abdul Rahman Cantik.
1941 – 1945 – Dirampas oleh tentera Jepun untuk dijadikan propaganda menayangkan filem-filem Jepun.
1945 – 1947– Mula membaik pulih studio dengan belanja 1juta ringgit dan menggunakan nama Malay Film Productions Ltd sebagai syarikat Filem Melayu pertama di Singapura.
1947 – 1967 – Beroperasi sebagai studio Malay Film Productions Ltd selama lebih 20tahun.
Alamat : No. 8,Jalan Ampas off Balestier Road
Pemilik : RunRunShaw & Runme Shaw
Pengurus Studio : Kwek Chip Jian

Studio Cathay Keris Film Productions

Filem Gurindam Jiwa,Dang Anom dan Mat bond antara filem pecah panggung yang menjadi pesaing hebat antara MFP kerana mereka mempunyai pelakon hebat seperti Seniman Nordin Ahmad, Latifah Omar, Malek Selamat, Shariff Medan dan lain lagi. Kebanyakan pelakon dari MFP berpindah ke studio Cathay kerana dibayar gaji dua kali ganda berbanding gaji yang mereka perolehi semasa di MFP. Studio ini yang dahulunya merupakan Markas tentera Jepun dan kemudiannya dibeli oleh Loke Wan Tho yang pada masa itu beliau menubuhkan syarikat Keris Film disamping menjadi rakan kongsi Rimau Filem yang dimiliki oleh Gian Singh yang banyak menerbitkan filem Hindustan.Pada tahun 1953,ketika ia ditubuhkan,Syarikat Keris Film telah bergabung dengan Ho Ah Loke yang pada ketika itu juga pemilik bersama syarikat Nusantara Film Company. Ia kemudian bertukar menjadi Cathay Keris Film Productions dan menghasilkan filem warna pertama bertajuk Buloh Perindu lakonan Shariff Medan dan Norsiah Yem yang diarahkan oleh B.S. Rajhans.

Penubuhan dan penutupan :
1953 – 1977
Alamat : 532D, East Coast Road
Pemilik : Loke Wan Tho & Ho Ah Loke
Pengurus Studio : S. A. D’Cruz

Nusantara Film Company

Ia ditubuhkan pada 1951 dan A. R. Tompel pernah menjadi pengarah filem secara rahsia  dengan menggunakan nama ARMAYA ketika bekerja untuk syarikat ini walaupun beliau masih terikat kontrak dengan MFP. Ia dimiliki oleh lima orang dan pemilik bersama ialah Ho Ah Loke sebelum beliau mengambil alih syarikat Cathay Keris dan Merdeka Studio.Pelakon seperti S. Kadarisman, Normadiah dan Osman Gumanti merupakan pelakon utama syarikat ini sebelum mereka berpindah ke MFP. Difahamkan syarikat ini hanya sebuah gudang yang kecil dan berkongai syarikat dengan syarikat yang dimiliki oleh seorang benggali. Tapak syarikat Nusantara Film kini dijadikan padang bola sepak yang terletak di De Souza Avenue di sekitar perumahan private Bukit Timah Road.

Penubuhan dan penutupan :
1951-1964
Alamat : 219J, De Souza Avenue
Pemilik : Goh Hood Kiat, Ong Chin Kun,
Ong Keng Huat, Koh Tin Kok, Richard Tan Fu San & Co-owned Ho Ah Loke
Pengurus Studio : Hsu Chiao Meng (Beliau juga salah seorang pengarah filem di syarikat ini dengan mengunakan nama samaran M.Wijaya)

*Credit gambar dan cerita : SGFilmHunter & Dato Ahmad Fauzee
Penulisan oleh Ukhti Aminah

#MalayFilmProductions
#CathayKerisFilm
#NusantaraFilmCompany
#likeusonfacebook
#followusoninstagram
#wadahseniku
http://www.wadahseniku.blogspot.sg

Uncategorized

Jejak Warisan – Jalan Ampas

Bergambar bersama Encik Amrin Amin (Berbaju Merah) 

SINGAPURA:

Studio Shaw di Jalan Ampas hidup kembali hari ini (13 Ogos) setelah berdekad lamanya menyepi sejak 1967.

Namun, ia bukan untuk sebuah sesi penggambaran filem.
Pekarangannya dibanjiri para peserta siri lawatan Jejak Warisan anjuran MAEC Kelab Masyarakat Woodlands.

160 PENDUDUK ACARA LAWATAN JEJAK WARISAN

Di Studio Shaw Jalan Ampas, lahirnya permata-permata seni seperti Allahyarham Saloma dan trio popular Bujang Lapok.

Hari ini, seramai 160 penduduk berkesempatan mengintai-intai kawasannya menerusi satu lawatan berpandu yang dikendalikan khas oleh artis veteran Yusnor Ef sendiri.

“Walaupun sebelum studio Jalan Ampas sudah ada syarikat persendirian yang sudah menghasilkan filem, tetapi tidaklah sejaya sebagaimana studio Jalan Ampas. Jadi saya kata ini sebagai warisan khazanah masyarakat Melayu, nusantara yang harus dipelihara, harus diberi perhatian.

Cikgu Yusnor Ef bercerita mengenai Studio Jalan Ampas disaksikan oleh Seniman Zaini Sattar,Seniwati K. Fatimah dan Zaiton bersama Encik Amrin Amrin

“Saya sendiri personal mengatakan harus berterima kasih kepada pihak Shaw Brothers yang masih lagi mengekalkan studio ini dan menjadikan tempat lawatan kepada masyarakat atau generasi hari ini,” kata Encik Yusnor.

Seniwati veteran Zaiton pula berkata: “Jadi nampak banyak yang berubah. Banyak yang berubah, hati pun sedih. Tadi bila cakap hendak nangis sahaja, tidak tahan. Tetapi alhamdullilah, bagus macam ini. Kalau boleh teruskan macam ini buat peringatan kita.”

HARUS INGAT JASA SENIMAN, SENIWATI LAMA

Seniwati Zaiton dan Encik Amrin Amin

Cik Zaiton Abdullah, kali terakhir berlakon dalam filem Raja Bersiung.

Beliau salah seorang barisan seniman veteran yang mengadili sesi uji bakat dan peraduan berhias bagi memberi peserta lawatan secebis pengalaman beraksi di Jalan Ampas.

Peluang keemasan melawat tempat penuh sejarah ini menarik perhatian bukan sahaja yang tua tetapi juga yang muda dan malah, warga asing juga.

“Saya pun merupakan seorang peminat filem-filem P.Ramlee jadi memang terharulah dapat melihat sendiri studio Shaw Brothers, di mana filem-filem itu dilakukan dan dikeluarkan,” kata seorang peserta acara itu.

“Saya rasa ia amat penting untuk belia-belia seperti saya mengetahui sejarah Jalan Ampas dan melestarikan teater-teater Melayu,” tambah seorang lagi peserta.

Seniman Zaini Sattar dan Seniwati Zaiton Bersama Encik Amrin Amin

Setiausaha Parlimen Kementerian Ehwal Dalam Negeri yang juga Penasihat Akar Umbi GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, berharap lawatan itu meningkatkan penghargaan dan minat masyarakat terhadap filem-filem Melayu tempatan.

“Walaupun ramai di antara mereka sudah pulang (ke rahmatullah), lakonan mereka, seni kata mereka masih dekat di hati. Jadi harus kita sentiasa mengingati jasa mereka dan yang ada, harus kita kenang budi mereka dan kita menimba ilmu mereka.

“Dan inilah tujuan jejak warisan ini supaya kita tidak lupa, generasi ini tetap ingat, tetap kenang budi generasi perintis,” kata Encik Amrin.

Lawatan itu merupakan siri Jejak Warisan ketiga tahun ini.

Seniwati Zaiton bersama pengacara Fido Ahdross dan Ukhti Aminah
Waris keluarga Pelakon dan Pekerja Malay Film Productions
Billboard gambar-gambar rare yang diletakkan di Studio Jalan Ampas
Penerangan tentang Studio Jalan Ampas oleh Cikgu Yusnor Ef

Para Pemenang peraduan lakonan Filem Melayu

Sumber Tulisan : Berita Mediacorp
Gambar-Gambar : Ukhti Aminah / AmrinAmin / Sri Anda Salleh

BIDUANITA NEGARA

Biduanita Siti Mariam,Penyanyi lagu-lagu Asli Melayu dan Filem

Biduanita Siti Mariam
Salam Ziarah,
Hari ini saya ingin berkongsi kisah seorang lagi Biduanita lagu-lagu melayu asli yang jarang diketengahkan atau diperkatakan tentang beliau.
Mungkin diantara anda kenal akan penyanyi lagu-lagu filem seperti Kamariah Noor,Kamariah Ahmad, Rosiah Chik, Rahimah Simen,Saloma namun ramai yang tidak mengetahui penyanyi asal lagu Olek Raja,Sri Tambak,Bentan Telani dan banyak lagi.
Saya tertarik akan penulisan Cucu beliau iaitu Penyanyi lagu-lagu Ghazal iaitu Rozaidy Shukry atau lebih dikenali sebagai Rojer Rozaidy. Rozaidy merupakan seorang pemain Tabla dan Gambus serta penyanyi utama kumpulan ghazal dari Persatuan Ghazal Johor Malaysia (Ghajmas).
Rojer Rozaidy bersama Nendanya Biduanita Siti Mariam
Terima kasih Rozaidy kerana mengizinkan pihak Wadahseniku berkongsi kisah menarik ini untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.Semoga bermanfaat.
Mukadimah : Sejarah awal Siti Mariam
Nenda saya berasal dari Kelantan, beliau adalah anak kepada Saad Shukry Hj Muda – pejuang kemerdekaan bersama-sama Ahmad Boestamam & Burhanuddin Helmi, penulis buku kamus dewan bahasa edisi pertama serta beliau adalah abang kepada Dato Asri Hj Muda – menteri besar Kelatan kelima.
Menurut cerita dari Ayahanda saya (abang kepada penyanyi Aziz Ahmad), Nenda Siti Mariam dipercayai mewarisi bakat suara dari salasilah keturunan moyangnya iaitu penyair & penyanyi Istana Kelantan semasa Raja tidur@beradu. bakatnya terserlah sehingga menjadi penyanyi didalam pancaragam polis Kelantan, justeru dari itu beliau berhijrah ke Kuala Lumpur menjadi penyanyi lagu Melayu Asli di Kelab Lucky World di Sungai Wang Plaza-Kuala Lumpur.
Siti Mariam hanya mempunyai seorang adik perempuan sahaja – Kharidah Bte Saad. Kharidah lebih cenderung bidang Qariah dan menjadi pengajar Quran mewarisi ibu mereka – Saadiah Bte Taib, manakala Siti Mariam lebih cenderung kepada bidang nyanyian mewarisi moyang dan bapanya Saad Shukry Hj Muda.
Kisah rumahtangga
Saad Shukry bin Haji Muda-Ayahanda Siti Mariam
Dimasa penjajahan jepun di Tanah Melayu, Siti Mariam telah berumahtangga dengan suami pertama iaitu Abdul Rahman semasa beliau berumur 12 tahun dan mendapat seorang cahaya mata yang bernama Munirah Abd Rahman.

Namun perkahwinan pertama tidak bertahan dan Siti Mariam telah berkahwin buat kali kedua dengan Mohd Noor Bin Agus. Sepanjang hidup bersama mereka dikurniakan lima orang anak iaitu,
1) Kaharudin
2) Tajudin
3) Shamsiah
4) Shamsudin
5) Shukry

Jodoh bersama suami kedua tidak berpanjangan, mereka berpisah. Pada hujung tahun 1950an, Siti Mariam telah berhijrah mengikut bapanya ke Kampung Bahru Kuala Lumpur. Bapanya – Saad Shukry Hj Muda adalah pengarang & penulis sezaman dengan Abdul Kadir Adabi, Ibrahim Ya’kob & Burhanuddin Helmi. Antara buku karangan beliau – Detik Sejarah Kelantan, Ensiklopedia Bahasa Beradat, Kamus Adat Istiadat Melayu, Kamus Hewan, Kamus Mutiara Bahasa dan lain lagi. Beliau juga aktif dalam pertunjukan kebudayaan seperti pencak silat dan tarian melayu.
Saadiah Bte Taib-Ibunda Siti Mariam
Setelah itu beliau mengikuti bapanya berhijrah pula ke Singapura dan disitulah bakat nyanyiannya bermula. Siti Mariam menetap di Singapura (140 Lorong Engku Aman, Geylang Serai) dan beliau telah berumahtangga buat kali ketiga dengan seorang peniup trompet iaitu Ahmad Bin Abu Bakar. Hasil perkahwinannya mereka telah dikurniakan empat orang anak iaitu :
1) Aziz
2) Adnan
3) Amir
4) Amin
Zaman kegemilangan
Semasa di Singapura, ramai rakan-rakan seni datang kerumahnya untuk berkongsi cara nyanyian lagu-lagu melayu. Antaranya Kamariah Noor, Rosiah Chik, Momo Latif dan Zaleha Hamid. Siti Mariam juga pernah ditawarkan menjadi pelakon filem, tetapi ditentang dan dihalang oleh bapanya.. kata bapanya “kalau Yam nak juga berlakon, pergi mahkamah potong nama aku” – dalam erti kata putuskan perhubungan keluarga.
Sedang merakamkan suara bersama Tan Sri P.Ramlee
Siti Mariam banyak merakam lagu untuk filem-filem dan radio. Hanya satu piring hitam sahaja rakaman yang pernah dirakam olehnya iaitu ‘Orkes Melayu Gumala Noordin Jalil – Melayu Asli Lama’. Teknik cara beliau menyanyi dan sebutannya adalah cara melayu tulen, berbeza dengan cara beliau dirumah yang lebih senang menggunakan dialek Kelantan.
keratan akhbar mengenai pemergian Allahyarhamha Siti Mariam
Akhir Hayat
Menurut cerita keluarga, Siti Mariam berhenti menyanyi selepas menunaikan Haji di Mekah setelah doanya di depan Kaabah berbunyi ‘aku tak menyanyi lagi’. Siti Mariam telah pulang ke Rahmatullah pada 6 Ogos 2004. 
Al Fatihah…
Olek Raja nyanyian Siti Mariam
Cerita ini dikongsi oleh Rojer Rozaidy Shukry.
Penulisan diolah semula oleh Ukhti Aminah.
Uncategorized

Evolusi lagu Hari Raya-Laporan BeritaMediacorp

Salam Ziarah,

Evolusi Lagu Hari Raya – Part 1
Evolusi lagu Hari Raya – Part 2

Admin Wadahseniku dan Cikgu Yusnor Ef ditemuramah oleh BERITAMediacorp untuk segmen khas Hari Raya mengenai Evolusi lagu Hari Raya.

Terima kasih saya ucapkan buat saudara Mrcupan Shah,Hidir Ali Razali yang banyak membantu untuk sumbangan info dan wartawan BeritaMediacorp-Nashita Kamir yang sudi beri saya peluang ketengahkan wadahseniku untuk segmen ini.

Semoga manfaat buat anda semua.

http://berita.mediacorp.sg/mobilem/specialreports/ramadansyawal2017/tahukah-anda-mengenai-evolusi-lagu-hari-raya/3751896.html

——————————————————————-

Tahukah anda mengenai evolusi lagu Hari Raya?

Oleh: NASHITA KAMIR

BERITAMediacorp: Sambutan Syawal pastinya tidak lengkap jika tidak diiringi dengan lagu-lagu hari raya.

Namun tahukah anda sejak bila lagu-lagu raya mula dihasilkan?

BERITAMediacorp singkap sejenak evolusi lagu-lagu raya Melayu dalam laporan ini.

LAGU PERTAMA DIRAKAM

Diterbitkan pada tahun 1936, lagu berjudul ‘Selamat Hari Raya’ dinyanyikan oleh, Allahyarhamha Aminah Nani, seorang penyanyi bangsawan yang juga dikenali sebagai Miss Aminah dikatakan adalah lagu hari raya pertama yang pernah dirakamkan di rantau ini.

“Sejak tahun 30an, lagu raya ini sudah ada dan ketika itu, ia banyak menceritakan apa yang saya ingat, tentang suasana kampung berhari raya.

“Ada lirik itu pernah saya dengar, masak dodol di malam hari raya, kacau wajik di malam hari raya; siapkan ketupat untuk hari raya; liriknya semua menceritakan mengenai suasana di hari raya yang akan mereka sambut,” ujar penulis lirik veteran Encik Yusnor Ef.

Zaman silih berganti – begitu juga dengan corak penceritaan serta rentak irama lagu-lagu raya yang menyusul selepas itu.

“Lama kelamaan, temanya sudah bertukar, masih tentang hari raya tetapi menceritakan tentang kesedihan, kehilangan bapa, ibu; bagaimana anak yatim berhari raya. Temanya itu dah rencam, sudah bermacam-macam.

“Jadi bila sudah masuk tahun 60an, akhir 50an – lebih ramai lagi, lebih banyak lagi pencipta-pencipta dan penulis-penulis lirik menghasilkan lagu-lagu raya yang ala moden,” tambah beliau.

ADA JUGA LAGU LAMA DIGUBAH SEMULA

Ini termasuklah lagu-lagu lama yang digubah semula.

Penulis blog ‘wadahseniku’ Ukhti Aminah berkata: “Contohnya ‘Dendang Perantau”. P Ramlee telah membawa versi asalnya menggunakan orkestra ‘Malay Film Productions’ kalau tak silap saya. Dan pada tahun 60an, ia diolah, diubah mengikut kesesuaian, masa zaman itu kan Pop Yeye, dan kalau kita dengar dekat radio sekarang, itulah yang orang tahu. Padahal asalnya adalah orkestra.”

Lagu ‘Aidilfitri’ yang dicipta sepenuhnya oleh Allahyarham Zubir Said juga antara karya yang berjaya diberi nafas baru oleh Allahyarham Kassim Masdor dan Yusnor Ef.

“Pak Zubir beritahu saya “Yusnor tukar dulu, jangan rakam. Tunjuk bapa dulu.” Jadi bila kita dah tukar, saya jumpa dia, saya tunjuk dia tengok, dia baca, “Bapa benarkan.” Lepas itu, dia tandatangan dekat situlah, “Bapa benarkan,” kata dia. Itulah yang kita rekod Sanisah itu,” tambah Encik Yusnor.

Dan sehingga ke hari ini, lagu-lagu raya lama masih terus diberikan suntikan baru mengikut citarasa masa kini.

Namun ada yang berpendapat, hasilnya tidak bolehlah ‘tersasar’ jauh dari gubahan asal.

“Nak dimodenkan boleh tapi biar sesuai dengan lagu yang lama. Contoh lagu ‘Suara Takbir’ asli, takkan kita nak rockkan? Bunyinya tak sedap kan? Jadi kalau boleh bila kita ubah kepada yang baru itu, biar sedap telinga mendengar.

“Jangan kerana stail, melodi awak tunggang terbalikkan. Melodi awak ubah, nakkan stail awak. Stail boleh tapi melodi itu jangan hilang,” tambah beliau.

Dipercayai sebanyak 350 lagu raya dihasilkan antara tahun 30an hingga 70an dan diharapkan khazanah lagu-lagu raya Melayu dapat terus diperkayakan dengan sumbangan daripada generasi seterusnya.

– BERITAMediacorp