BIDUANITA NEGARA

Biduanita Siti Mariam,Penyanyi lagu-lagu Asli Melayu dan Filem

Biduanita Siti Mariam
Salam Ziarah,
Hari ini saya ingin berkongsi kisah seorang lagi Biduanita lagu-lagu melayu asli yang jarang diketengahkan atau diperkatakan tentang beliau.
Mungkin diantara anda kenal akan penyanyi lagu-lagu filem seperti Kamariah Noor,Kamariah Ahmad, Rosiah Chik, Rahimah Simen,Saloma namun ramai yang tidak mengetahui penyanyi asal lagu Olek Raja,Sri Tambak,Bentan Telani dan banyak lagi.
Saya tertarik akan penulisan Cucu beliau iaitu Penyanyi lagu-lagu Ghazal iaitu Rozaidy Shukry atau lebih dikenali sebagai Rojer Rozaidy. Rozaidy merupakan seorang pemain Tabla dan Gambus serta penyanyi utama kumpulan ghazal dari Persatuan Ghazal Johor Malaysia (Ghajmas).
Rojer Rozaidy bersama Nendanya Biduanita Siti Mariam
Terima kasih Rozaidy kerana mengizinkan pihak Wadahseniku berkongsi kisah menarik ini untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.Semoga bermanfaat.
Mukadimah : Sejarah awal Siti Mariam
Nenda saya berasal dari Kelantan, beliau adalah anak kepada Saad Shukry Hj Muda – pejuang kemerdekaan bersama-sama Ahmad Boestamam & Burhanuddin Helmi, penulis buku kamus dewan bahasa edisi pertama serta beliau adalah abang kepada Dato Asri Hj Muda – menteri besar Kelatan kelima.
Menurut cerita dari Ayahanda saya (abang kepada penyanyi Aziz Ahmad), Nenda Siti Mariam dipercayai mewarisi bakat suara dari salasilah keturunan moyangnya iaitu penyair & penyanyi Istana Kelantan semasa Raja tidur@beradu. bakatnya terserlah sehingga menjadi penyanyi didalam pancaragam polis Kelantan, justeru dari itu beliau berhijrah ke Kuala Lumpur menjadi penyanyi lagu Melayu Asli di Kelab Lucky World di Sungai Wang Plaza-Kuala Lumpur.
Siti Mariam hanya mempunyai seorang adik perempuan sahaja – Kharidah Bte Saad. Kharidah lebih cenderung bidang Qariah dan menjadi pengajar Quran mewarisi ibu mereka – Saadiah Bte Taib, manakala Siti Mariam lebih cenderung kepada bidang nyanyian mewarisi moyang dan bapanya Saad Shukry Hj Muda.
Kisah rumahtangga
Saad Shukry bin Haji Muda-Ayahanda Siti Mariam
Dimasa penjajahan jepun di Tanah Melayu, Siti Mariam telah berumahtangga dengan suami pertama iaitu Abdul Rahman semasa beliau berumur 12 tahun dan mendapat seorang cahaya mata yang bernama Munirah Abd Rahman.

Namun perkahwinan pertama tidak bertahan dan Siti Mariam telah berkahwin buat kali kedua dengan Mohd Noor Bin Agus. Sepanjang hidup bersama mereka dikurniakan lima orang anak iaitu,
1) Kaharudin
2) Tajudin
3) Shamsiah
4) Shamsudin
5) Shukry

Jodoh bersama suami kedua tidak berpanjangan, mereka berpisah. Pada hujung tahun 1950an, Siti Mariam telah berhijrah mengikut bapanya ke Kampung Bahru Kuala Lumpur. Bapanya – Saad Shukry Hj Muda adalah pengarang & penulis sezaman dengan Abdul Kadir Adabi, Ibrahim Ya’kob & Burhanuddin Helmi. Antara buku karangan beliau – Detik Sejarah Kelantan, Ensiklopedia Bahasa Beradat, Kamus Adat Istiadat Melayu, Kamus Hewan, Kamus Mutiara Bahasa dan lain lagi. Beliau juga aktif dalam pertunjukan kebudayaan seperti pencak silat dan tarian melayu.
Saadiah Bte Taib-Ibunda Siti Mariam
Setelah itu beliau mengikuti bapanya berhijrah pula ke Singapura dan disitulah bakat nyanyiannya bermula. Siti Mariam menetap di Singapura (140 Lorong Engku Aman, Geylang Serai) dan beliau telah berumahtangga buat kali ketiga dengan seorang peniup trompet iaitu Ahmad Bin Abu Bakar. Hasil perkahwinannya mereka telah dikurniakan empat orang anak iaitu :
1) Aziz
2) Adnan
3) Amir
4) Amin
Zaman kegemilangan
Semasa di Singapura, ramai rakan-rakan seni datang kerumahnya untuk berkongsi cara nyanyian lagu-lagu melayu. Antaranya Kamariah Noor, Rosiah Chik, Momo Latif dan Zaleha Hamid. Siti Mariam juga pernah ditawarkan menjadi pelakon filem, tetapi ditentang dan dihalang oleh bapanya.. kata bapanya “kalau Yam nak juga berlakon, pergi mahkamah potong nama aku” – dalam erti kata putuskan perhubungan keluarga.
Sedang merakamkan suara bersama Tan Sri P.Ramlee
Siti Mariam banyak merakam lagu untuk filem-filem dan radio. Hanya satu piring hitam sahaja rakaman yang pernah dirakam olehnya iaitu ‘Orkes Melayu Gumala Noordin Jalil – Melayu Asli Lama’. Teknik cara beliau menyanyi dan sebutannya adalah cara melayu tulen, berbeza dengan cara beliau dirumah yang lebih senang menggunakan dialek Kelantan.
keratan akhbar mengenai pemergian Allahyarhamha Siti Mariam
Akhir Hayat
Menurut cerita keluarga, Siti Mariam berhenti menyanyi selepas menunaikan Haji di Mekah setelah doanya di depan Kaabah berbunyi ‘aku tak menyanyi lagi’. Siti Mariam telah pulang ke Rahmatullah pada 6 Ogos 2004. 
Al Fatihah…
Olek Raja nyanyian Siti Mariam
Cerita ini dikongsi oleh Rojer Rozaidy Shukry.
Penulisan diolah semula oleh Ukhti Aminah.

Leave a comment